Pencari Maklumat

Loading

22 January 2011

Majlis Perpisahan Bagi Guru-Guru Yang Berpindah

 

17 Januari 2011M - Bagi mengenang jasa dua orang guru SUAMPRIPAD yang telah berpindah untuk bertugas di sekolah lain, pihak sekolah dengan kerjasama bekas pelajar-pelajar Thanawi 5 sesi 2010M telah mengadakan satu majlis perpisahan yang diadakan di dewan besar sekolah.


Selain guru-guru, majlis pada hari tersebut telah dihadiri oleh sekitar 40 orang bekas pelajar Thanawi 5 yang turut sama memeriahkan majlis pada hari tersebut.


Majlis dimulakan dengan ucapan dari Puan Pengetua, Yang Mulia Ustazah Dyg Hjh Sarimah Bte Awg Hj Ahmad yang antara lain merakam ucapan terima kasih kepada 2 orang guru yang berpindah, iaitu Cikgu Hj Mohd Yusuf Sani dan juga Cikgu Mohd Fizree Hj Johari, yang telah banyak membantu pihak sekolah dalam mencapai kemajuan samada dari segi akademik mahupun ko-kurikulum.


Yang Mulia Puan Pengetua juga turut merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada pelajar-pelajar Thanawi 5 sesi 2010M kerana telah berjaya mencapai keputusan 100% lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Ugama Brunei yang dijalankan pada Oktober lalu.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan ucapan dari salah seorang wakil guru yang berpindah iaitu Cikgu Hj Mohd Yusuf Sani. Beliau dalam ucapannya turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak sekolah kerena telah memberi kerjasama yang kukuh sepanjang tempoh perkhidmatan mereka di SUAMPRIPAD. Cikgu Hj Mohd Yusuf Sani juga sempat merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak pentadbiran dan juga guru-guru sejawatan kerana telah menjadikan pengalaman berkhidmat di SUAMPRIPAD sebagai suatu kenangan yang manis yang tidak akan mereka lupakan sampai bila-bila.


Cikgu Hj Mohd Yusuf Sani telah mula berkhidmat di negara ini pada tahun 1987 dan beliau telah mula berkhidmat di SUAMPRIPAD sejak tahun 1994. Sepanjang tempoh 16 tahun di sekolah ini, beliau telah menjadi guru matapelajaran kepada beberapa subjek terutama Physics, Chemistry, dan juga Science. Beliau juga pernah mengharumkan nama sekolah dalam bidang ko-kurikulum lebih-lebih lagi ketika memenangi tempat ketiga dalam pertandingan PRYNSA 12 pada tahun lalu.


Bagi Cikgu Mohd Fizree Hj Johari pula, beliau telah mula berkhidmat di SUAMPRIPAD pada awal tahun 2010 dan pernah menjadi guru bagi matapelajaran Physics dan Chemistry.Walaupun baru setahun berkhidmat di SUAMPRIPAD, Cikgu Fizree juga turut aktif melibatkan diri dalam bidang-bidang ko-kurikulum sekolah dan juga telah menjawat jawatan sebagai Pengerusi Badan Tabung Kebajikan Guru-Guru sesi 2010-2011.


Majlis pada petang tersebut diteruskan dengan ucapan daripada bekas Yang Dipertua Penuntut 2009, Dyg Norhafizah Bte Hj Mohd Soffian yang mewakili para pelajar Thanawi 5 bagi merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh tenaga pengajar SUAMPRIPAD atas jasa dan bakti yang dicurahkan sehingga mereka mampu mencapai kejayaan yang begitu membanggakan.


Majlis kemudiannya diteruskan dengan upacara penyampaian cenderamata kepada Cikgu Mohd Yusuf Sani dan Cikgu Mohd Fizree Hj Johari yang disempurnakan oleh Puan Pengetua sekolah.


Majlis pada petang tersebut juga diserikan lagi dengan satu persembahan oleh pelajar-pelajar Thanawi 5 yang hadir dalam majlis tersebut.





 


- Foto : Suny   Teks : Win -