Pencari Maklumat

Loading

26 April 2010

Sambutan Hari Bumi 2010


.
22 April 2010 - Dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran warga sekolah terhadap kepentingan menjaga, memelihara dan memulihara satu-satunya khazanah paling berharga iaitu bumi, SUAMPRIPAD telah memberi sokongan padu dengan sama-sama menyambut dan memeriahkan sambutan Hari Bumi Sedunia 2010 yang diadakan pada setiap 22 April. Majlis Sambutan Hari Bumi yang diadakan di sekolah ini adalah merupakan anjuran bersama Jabatan Geografi dan Komputer, Jabatan Bahasa Melayu & Mib, Unit 3K dan juga Unit Kesihatan SUAMPRIPAD.
.

.
Aturcara pada hari tersebut dimulakan dengan upacara perbarisan pagi dan seterusnya upacara perlantikan ahli Kumpulan Kerja Cemerlang (KKC) dari kalangan pelajar. Menurut Ustazah Hjh Rosnah Bte Mohd Taha, perlantikan tersebut adalah perlu bagi membantu dan menyokong projek KKC yang sedang dilaksanakan di sekolah.
.

.
Upacara perasmiannya pula telah disempurnakan oleh Ustazah Hjh Surinah Bte Hj Kula.
.

.
Majlis perasmian sambutan Hari Bumi 2010 kemudiannya diteruskan dengan ucapan daripada Cikgu Mohd Helmme Bin Hj Ramli. Dalam ucapan beliau, sambutan Hari Bumi amatlah perlu dalam memberi kesedaran kepada para pelajar dalam kepentingan menjaga alam sekitar lebih-lebih lagi ketika dunia sedang mengalami krisis Pemanasan Global. Dengan adanya penglibatan pihak sekolah dalam menyambut Hari Bumi, ianya sudah tentu akan dapat memupuk rasa tanggungjawab warga sekolah dalam sama-sama memelihara kepentingan bumi.
.

.
Menyentuh mengenai isu pemanasan global, ianya adalah berkaitan dengan peningkatan suhu dunia. Suhu bumi telah meningkat dua darjah dan kadarnya berbeza mengikut benua dan kawasan tertentu. Kajian mendapati kawasan Artik lebih pantas menjadi panas berbanding kawasan lain. Perubahan iklim biasanya berlaku dalam tempoh 10,000 tahun tetapi kini perubahan iklim berubah dalam tempoh 100 tahun sahaja, jarak hanya 2 generasi sahaja. Suhu bumi meningkat sejak tahun-tahun 90an. Kajian mendapati iklim panas melampau di Perancis, iklim lebih panas di rantau Siberia dan pencairan "permafrost" (lapisan tanah yang kekal beku di rantau paling sejuk) terutamanya di rantau Artik. Ahli sains meramalkan keseluruhan ais laut di Artik akan cair pada musim panas 2099. Litupan ais Greenland dan Antartika Barat akan mencair . Paras laut akan meningkat kira-kira 7 meter secara mendadak. Kajian mendapati 98 % punca pemanasan global ialah pelepasan karbon dioksida akibat pembakaran bahan bakar fosil yang telah dilakukan sejak abad ke-18. . Perubahan penggunaan tanah menyumbang 30 peratus pelepasan karbon dioksida. Kesan rumah hijau lebih hebat dan iklim dunia akan berubah secara mendadak, tanpa dapat dibendung lagi. (sumber : http://ms.wikipedia.org/wiki/Pemanasan_global)
.

.
Majlis diteruskan dengan ucapan dari Pengetua Sekolah, Ustazah Dyg Hajah Sarimah Bte Awg Haji Ahmad yang kemudiannya berkesudian merasmikan kain rentang sambutan Hari Bumi 2010.Upacara perasmian juga disusuli dengan acara melepaskan beberapa ekor burung merpati sebagai simbol mencintai alam semulajadi.
.

.
Aktiviti pada hari tersebut kemudiannya diteruskan dengan aktiviti senamrobik yang diketuai ahli jawatankuasa pelajar dengan melibatkan semua warga sekolah.

.

.
.
.

.
Pelbagai aktiviti telah disusun bagi menyemarakkan lagi sambutan Hari Bumi 2010 yang diadakan di sekolah antaranya aktiviti penanaman pokok buah-buahan dan pokok bunga di sekitar kawasan sekolah dan juga kempen kebersihan secara menyeluruh.
.

.
Selain itu, aturcara sambutan Hari Bumi juga diselitkan dengan sebuah lakonan pentas bertajuk 'Kesan Pemanasan Global', kuiz uji minda, peraduan menulis esei bertemakan 'Bumi Kami Masa Depan Kami' dan pertandingan mencipta topi daripada benda-benda terpakai.
.

.
Aturcara pada sebelah petang pula diselitkan dengan lakonan pentas oleh para pelajar Tahun 9 dan juga upacara penyampaian hadiah kepada pemenang-pemenang pertandingan.
.

.

.

.

.

.
Sementara itu, pada hari yang sama, SUAMPRIPAD telah menerima lawatan sambil belajar dari 5 orang pelajar Tahun 3 dari Universiti Sains Malaysia.
..

.
Antara objektif lawatan tersebut adalah bagi mengetahui asas pentadbiran sekolah arab dan juga untuk melihat dengan lebih dekat lagi proses pengajaran dan pembelajaran di SUAMPRIPAD.
.

.
Ketibaan rombongan lawatan telah disambut oleh Puan Pengetua yang seterusnya berkesudian memberi taklimat dan menemani para pelawat untuk melihat struktur dan kemudahan yang disediakan di sekolah ini.

24 April 2010

Suntikan Vaksin Influenza A H1N1


.
21 April 2010 - Bagi menyahut seruan Kementerian Kesihatan dalam sama-sama berusaha menangani wabak Influenza A H1N1, Unit Kesihatan SUAMPRIPAD dengan kerjasama Kementerian Kesihatan telah mengungkayahkan program suntikan vaksin Influenza A H1N1 kepada sekitar 180 warga sekolah yang terdiri daripada kalangan guru-guru, kakitangan serta para pelajar bertempat di Stadium Tertutup, Berakas.
.

.
Suntikan vaksin H1N1 adalah merupakan langkah tambahan bagi perlindungan khusus dari jangkitan Influenza A H1N1 yang telah mula dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan pada akhir bulan November tahun lalu .Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah menyediakan peruntukan yang cukup bagi pembelian jumlah suntikan yang mencukupi untuk semua penduduk di negara ini selain tidak mengenakan sebarang bayaran termasuk kepada warganegara asing yang bermastautin di negara ini.
.

.
Menurut laporan Pelita Brunei bertarikh 11 Februari lalu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan, Dr. Hajah Rahmah binti Haji Md. Said semasa mengadakan Sidang Media mengenai situasi terkini Influenza A H1N1 di Bilik Persidangan, Kementerian Kesihatan pada Februari lalu, telah menyatakan bahawa seperti vaksin-vaksin bagi penyakit yang lain, suntikan vaksin ini diberikan dengan tujuan agar sistem imuniti di dalam tubuh-badan dapat mengambil tindak balas di mana setelah disuntik, sistem imuniti akan dapat menghasilkan antibodi khusus yang akan memberikan perlindungan dari jangkitan jika terdedah kepada virus Influenza A H1N1.Dengan cara demikian,ianya akan seterusnya mencegah penularan ataupun jangkitan virus H1N1 dari merebak secara berleluasa.
.

.
Menyentuh mengenai kesan sampingan pula, kebanyakan kes yang dilaporkan hanyalah kesan tidak selesa semasa awal suntikan, manakala sejumlah kecil dicatatkan mengalami pening-pening selepas disuntik, tetapi akan hilang dengan cepat selepas berehat.Selain itu, beberapa kesan merah dan bengkak selama beberapa hari juga turut dilaporkan.
.

.
Program suntikan vaksin yang diadakan pada hari tersebut telah berjalan dengan lancar hasil kerjasama padu yang diberikan oleh kedua belah pihak.
.

16 April 2010

Anugerah Saintis Muda Alam Semulajadi Puteri Rashidah Kali Ke-12 ( PRYNSA 12 )


.
15 April 2010 - Majlis Penyampaian Anugerah Saintis Muda Alam Semulajadi Puteri Rashidah Kali Ke-12 atau singkatnya PRYNSA 12 telahpun berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong.
.

.
Berkenan berangkat ke Majlis Penganugerahan tersebut adalah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah binti Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah selaku Penaung Diraja PRYNSA.
.

*sumber foto : Jabatan Penerangan
.
Keberangkatan tiba Yang Teramat Mulia dijunjung oleh Menteri Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Utama Dato Seri Setia Awang Haji Yahya Bin Begawan Mudim Dato Paduka Haji Bakar dan juga Pengarah Perhutanan, Awang Haji Saidin bin Salleh berserta Ahli-ahli Jawatankuasa PRYNSA.
.

.
Majlis dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah dan seterusnya penyampaian sembah alu-aluan oleh Pengarah Perhutanan, Awang Haji Saidin bin Salleh yang juga merupakan Pengerusi Ahli Jawatankuasa Majlis Penganugerahan PRYNSA Kali Ke-12.
.

.
Dengan limpah perkenan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah, majlis kemudiannya diteruskan dengan pembentangan projek-projek PRYNSA dari lima buah pasukan yang terpilih ke peringkat akhir pada tahun ini.
.

.
Antara pasukan yang terpilih ke peringkat akhir adalah pasukan dari Sekolah Menengah Sultan Muhammad Jamalul Alam (SMJA), Sekolah Menengah Sayyidina Umar Al-Khattab (SMSUA), Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Damit (SUAMPRIPAD), Sekolah Menengah Sultan Hassan Bangar dan juga Sekolah Menengah Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei (PGGMB).
.

.
Pembentangan projek-projek yang dilakukan oleh setiap pasukan telah meliputi penerangan objektif tajuk, kaedah dan tatacara kajian dijalankan, lokasi projek, dan juga hasil dan kesimpulan kajian yang dijalankan.
.

.
Setelah menyaksikan pembentangan projek-projek oleh kelima buah pasukan, majlis kemudiannya diteruskan dengan tayangan filem dokumentari mengenai PRYNSA.
.

.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan upacara pengurniaan hadiah yang disempurnakan oleh Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah.
.

.
Johan di pertandingan PRYNSA 12 pada tahun ini telah disandang oleh pasukan dari Sekolah Menengah Sultan Muhammad Jamalul Alam (SMJA) dengan tajuk 'The Study of the Communal Roosting White Egrets'. Johan pertandingan telah membawa pulang wang tunai sebanyak BND3,000, trofi, piala rebutan, sebuah komputer riba, akaun simpanan wang peribadi HSBC bagi setiap seorang serta sijil penyertaan.
.

.
Tempat kedua telah dimenangi oleh pasukan dari Sekolah Menengah Sultan Hassan Bangar dengan tajuk mereka 'An Investigation into the Diversity of Wild Bananas (Musa spp.) at Different Location in Brunei Darussalam'. Naib johan pertandingan telah membawa pulang wang tunai sebanyak BND2,000, trofi, sebuah komputer riba, akaun simpanan wang peribadi HSBC bagi setiap seorang serta sijil penyertaan.
.

.
Tempat ketiga pula telah disandang oleh pasukan dari SUAMPRIPAD dengan tajuk 'The Significance of Forest as the Habitat for Insect Eating Birds in Controlling the Paddy Production'. Pasukan SUAMPRIPAD telah membawa pulang wang tunai sebanyak BND1,000, trofi, sebuah komputer riba, akaun simpanan wang peribadi HSBC bagi setiap seorang serta sijil penyertaan.
.

.
Sebelum berangkat meninggalkan majlis, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah telah berkenan menerima pesambah dari Ahli jawatankuasa Majlis Penganugerahan PRYNSA 12.
.

.
Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah juga berkenan untuk menyaksikan pameran mini serta berkenan mengabdikan gambar kenangan bersama para finalis PRYNSA 12.
.

.
PRYNSA merupakan aktiviti tahunan utama Jabatan Perhutanan sejak 1997, yang mana Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah adalah merupakan Penaung Diraja bagi program tersebut.
.

.
Antara objektif PRYNSA ialah untuk menyemai kesedaran di kalangan generasi muda akan pentingnya pemeliharaan dan perlindungan sumber-sumber hutan dan alam sekitar. Dengan pendekatan mereka kepada alam semula jadi ini mereka diharap akan dapat menghargainya dan memupuk rasa kecintaan ke atas alam semula jadi. Ianya juga bertujuan bagi menyediakan program asas bagi para pelajar dalam melahirkan saintis muda tempatan di masa depan dalam bidang sains alam semula jadi, di mana menerusi program tersebut, para pelajar akan menimba ilmu pengetahuan, pengalaman dan kemahiran dalam bidang penyelidikan, di samping membina keyakinan dan keupayaan bekerja dalam satu pasukan.
.

.
Dalam kesempatan ini, pihak sekolah ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kesemua pelajar yang terlibat atas semangat, usaha dan kerjasama yang diberikan sehingga memperoleh kejayaan dalam anugerah PRYNSA kali ke-12 ini. Pihak sekolah juga tidak lupa merakaman setinggi-tinggi penghargaan kepada Cikgu Hj Mohd Yusuf Sani, Cikgu Nur Yusrina Bte Hj Osman dan juga Cikgu Haslizawati atas bimbingan serta tunjuk ajar yang diberikan sepanjang menjalankan projek tersebut sehingga membolehkan pasukan sekolah mendapat tempat ketiga dan seterusnya mengharumkan lagi nama sekolah dimata masyarakat.
.
Foto & Teks : win

13 April 2010

Pertandingan Kejohanan Bola Jaring Sekolah-Sekolah Menengah Dan Maktab- Maktab Bagi Zon 1 Kategori Kumpulan C


.
7 April 2010 - Perlawanan seterusnya pasukan SUAMPRIPAD, Kumpulan C bagi Kategori umur 16-18 tahun telah berlangsung pada 5 April lalu dengan menentang pasukan dari Sekolah Menengah Sultan Hassan.
.

.
Perlawanan tersebut juga dijalankan Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.
.

.
Perlawanan antara kedua buah pasukan boleh diumpamakan seperti pertemuan buku dengan ruas memandangkan kebolehan menyerang dan juga pertahanan kedua buah pasukan berada di tahap yang sama.
.

.
Dengan keputusan seri dua sama, pihak pengadil mengarahkan agar kedua buah pasukan meneruskan perlawanan dengan tambahan masa. Walaupun begitu, kedudukan kedua buah pasukan tetap seri sehingga memaksa keputusan perlawanan ditetapkan dengan balingan penalty.
.

.
Hasil balingan penalty tersebut memberi peluang kepada pasukan SUAMPRIPAD untuk mara ke perlawanan seterusnya apabila Dyg Nur Izzati Binti Awak berjaya memunggut mata hasil gol penentuan yang beliau perolehi.
.

.
Perlawanan seterusnya telah berlangsung pada 7 April lalu dengan pasukan SUAMPRIPAD dijadualkan menentang pasukan dari Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah.
.

.
Pada set pertama perlawanan, kedudukan kedua buah pasukan ada ditahap yang sama dengan kedua buah pasukan saling membolosi jaringan pihak lawan.
.

.
Walaubagaimana pun, kedudukan pungutan mata mula berubah apabila pihak lawan mula menukar strategi pada set kedua.
.

.
Keputusan perlawanan pada hari tersebut menetapkan pasukan Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah berjaya mengatasi pasukan SUAMPRIPAD dengan jaringan 12 - 6.
.

.
Pihak sekolah walaubagaimana pun mengucapkan syabas kepada kesemua ahli pasukan bola jaring sekolah atas usaha, kerjasama dan semangat kesukanan yang dipamerkan disepanjang perlawanan tersebut dijalankan. Semoga ianya menjadi pendorong bagi semua agar mencapai kejayaan yang lebih baik pada masa akan datang.