Pencari Maklumat

Loading

03 September 2010

Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negara bagi Tahun 1431 Hijrah

 

27 OGOS 2010 - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negara bagi Tahun 1431 Hijrah yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas. Majlis yang bertemakan 'Ilahi Selamatkan Brunei Darussalam' tersebut telah dikendalikan bersama oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Jabatan Penjara, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.


Berangkat sama ke majlis tersebut adalah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda Haji 'Abdul 'Azim, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Malik dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Mateen berserta ahli kerabat diraja yang lain.



Keberangkatan tiba KDYMM ke majlis tersebut dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari-hari Kebesaran Islam Tahun 1431 Hijriah serta Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi dan Jawatankuasa Kerja yang lain.

 

Majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran secara huruf Braille yang disampaikan oleh pelajar Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITAQSHHB), Dayang Hajah Norul Ezzah binti Haji Emran dan huraian tafsirannya disampaikan oleh Dayang Ummi Khuntum binti Haji Asmat.

 

Majlis kemudiannya diteruskan dengan sembah alu-aluan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad yang antara  ain menyembahkan bahawa Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia melalui Kementerian Hal Ehwal Ugama dengan kerjasama semua pihak di negara ini sentiasa berusaha mengagungkan kitab suci Al-Quran Al-Karim, mempelajari dan mengamalkannya, termasuk bukti penghayatan itu ialah pengumuman natijah dari pertandingan menghafaz ayat-ayat suci Al-Quran dari berbagai kategori dalam majlis tersebut. Menyentuh mengenai pertandingan menghafaz ayat-ayat suci Al-Quran tersebut. Menteri Hal Ehwal Ugama menjelaskan bahawa tambahan format bagi Kategori C dan D iaitu dari segi jumlah juz Al-Quran telah dilaksanakan bagi meningkatkan lagi pencapaian peserta-peserta dalam bidang hafaz ayat-ayat suci Al-Quran.

 

Majlis diikuti dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang antara lain menegaskan bahawa Al-Quran adalah kepala mukjizat yang bersifat hebat dan tidak dapat dicabar atau dikalahkan. Al-Quran juga adalah suluh, perbendaharaan dan penyelamat kita sama ada di dunia mahupun di akhirat. Umat yang memiliki Al-Quran adalah umat yang paling beruntung di antara lain-lain umat di dunia ini. Menyentuh mengenai mukjizat , baginda menjelaskan ianya adalah kurniaan luar biasa daripada Allah kepada para Nabi dan Rasul,dan Al-Quran ialah kurnia Allah kepada Nabi kita,Sayyidina Muhammad S.A.W. Manakala Al-Quran sebagai suluh kerana ia mengandungi segala pedoman dan peraturan, di mana semuanya datang dari Allah Subhanahu Wataala, bukan dari siapa-siapa. Al-Quran juga adalah pebendaharaan, jelas baginda, kerana ia adalah santapan rohani, ubat dan rahmat serta sumber rezeki berupa pahala, dan siapa yang membaca Al-Quran akan memperolehi semua ini tanpa diragukan. Baginda seterusnya bertitah menjelaskan bahawa Al-Quran juga dalah penyelamat kepada umat di dunia ini, kerana ia adalah penawar, pelindung dan pemberi syafa'at, bukan sahaja di dunia tetapi juga di alam barzakh dan hari kiamat kelak, di mana Al-Quran akan menjadi syafa'at kepada mereka yang membacanya. Kita selaku pewaris Al-Quran patut bersyukur kerana dikurniakan Al-Quran dan kita berkewajipan memberi penumpuan dengan mempelajarinya dan membacanya,kerana Al-Quran adalah cukup sempurna, tegas baginda.
 .
 

Dalam pada itu baginda seterusnya bertitah melahirkan rasa gembira dan kesyukuran kerana Kerajaan baginda telah memperkenalkan Kursus Diploma 'Aaliah Qira-aat yang diungkayahkan oleh Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Pengajian tersebut adalah merupakan satu cabang dari ilmu Al-Quran dan menjadi fardhu kifayah kepada kita semua, titah baginda. Di samping itu baginda juga gembira pada melihat kemajuan pembacaan al-Quran ketika ini, di mana kegiatan-kegiatan bertadarus di sepanjang bulan Ramadhan turut disertai oleh segenap peringkat masyarakat Islam di negara ini.

 

Majlis turut diserikan dengan ceramah khas mengenai Keistimewaan Menghafaz Al-Qur'an disampaikan oleh Pengetua Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Haji Abd. Rajid bin Haji Mohd. Salleh. Beliau menjelaskan melihat kepada perkembangan yang signifikan di serata dunia, pencapaian Negara Brunei Darussalam tidak ketinggalan dalam usaha melahirkan para hafiz Al-Qur'an yang berkualiti. Setakat ini negara mempunyai 13 orang hafiz Al-Qur'an yang lulus 30 juzuk yang ditasmie oleh Lembaga Tasmie Tertinggi Negara Brunei Darussalam sebanyak dua kali setahun secara berterusan dan dalam pada itu 16 calon ditasmie 20 juzuk dan 53 calon ditasmie bagi 10 juzuk. Beliau juga menjelaskan bahawa perkembangan teknologi terkini membolehkan kita menjaga Al-Qur'an dengan pelbagai kaedah dan cara. Melalui zaman teknologi maklumat yang penuh cabaran ini, kita dapat akses pelbagai maklumat mengenai perkembangan Al-Qur'an di serata dunia.Disamping itu, pembacaan dan menghafaz Al-Qur'an juga boleh diikuti melalui perisian komputer, cakera padat (Compact Disc-CD) dan yang seumpamanya serta melihat kaedah penulisan dan pencetakan Al-Qur'an sekarang jauh terkehadapan dari zaman awal penulisan Al-Qur'an dahulu.Walaubagaimanapun katanya, tidak dapat dinafikan dan disangkal bahawa kaedah yang paling berkesan dan paling selamat ialah hafazan di dalam dada yang boleh dianggap benteng terakhir umat Islam dalam menjaga kesucian dan kemurnian Al-Qur'an.

 
 
Majlis kemudiannya diteruskan dengan upacara penanugerahan hadiah-hadiah kepada para pemenang Pertandingan Menghafaz Ayat-ayat Suci Al-Qur'an Berserta Pemahaman yang disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. Pada tahun ini seramai 122 orang peserta telah mendaftar untuk mengikuti Pertandingan Menghafaz Ayat-ayat Suci Al-Qur'an berserta pemahamannya peringkat kebangsaan. Dari jumlah tersebut hanya 19 orang sahaja terpilih untuk bertanding ke peringkat akhir kebangsaan.

 

Bagi Kategori 'A', seramai 6 orang peserta iaitu 4 Lelaki dan 2 Perempuan yang berumur 10 tahun kebawah telah layak bertanding bagi menghafaz Surah Al-Insyiqaaq, Surah Al-Buruuj, Surah Ath-Thariq, Surah Al-A'laa, Surah Al-Ghasyiyah, Surah Al-Fajr, Surah Al-Balad, Surah Asy-Syams dan ayat-ayat lazim bermula dari Surah Ad-Dhuha hingga Surah Quraisy berserta pemahaman Surah Al-Fajr. Johan kategori pertama telah disandang oleh Awangku Md. 'Ashim Afiif bin Pengiran  Haji Md. Zin dengan mendapat markah sebanyak 96.95 peratus dan membawa pulang wang tunai BND1,500 berserta piala iringan dan sijil.


Bagi Kategori 'B'pula, seramai 5 orang peserta terdiri dari 2 peserta lelaki dan 3 peserta perempuan yang berumur 15 tahun ke bawah, telah bertanding menghafaz Surah As-Sajdah, Surah Yaa siin, Surah Ad-Dukhan, Surah Ar-Rahmaan, Surah Al-Waqi'ah, Surah Al-Jumua'ah, Surah Al-Mulk, Surah Al-Insaan berserta pemahaman Surah Al-Luqman. Johan bagi kategori B pula telah disandang oleh Dayangku Anisah Salwa binti Pengiran Haji Bahrin dengan mendapat markah sebanyak 97.42 peratus dan membawa pulang BND2,000, piala iringan dan sijil.

 

Bagi Kategori 'C', seramai 4 orang peserta lelaki telah bertanding bagi menghafaz 14 juz Al-Qur'an iaitu daripada juz 1 hingga 14 berserta pemahaman juz 4.Juara Kategori C pula ialah Awang Md. Najib bin Haji Aliakbar dengan markah 98.72 peratus dan membawa pulang BND2,800, piala iringan dan juga sijil.

 

Manakala bagi Kategori 'D' pula, seramai 4 orang peserta lelaki telah bertanding menghafaz 30 juz Al-Qur'an berserta pemahaman juz 15, terbuka kepada semua peringkat umur. Awangku Khairul Ikhwan bin Pengiran Alit muncul juara bagi Kategori D dengan membawa pulang BND4,500 berserta piala dan juga sijil.

 

Majlis diserikan lagi dengan persembahan nasyid dari pelajar lelaki dan perempuan Skim Tilawah Al-Quran Remaja Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU). Bagi memberkati majlis doa selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

 

Dalam kesempatan ini, pihak sekolah ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada  Dayangku Anisah Salwa binti Pengiran Haji Bahrin kerana telah berjaya menjuarai kategori B dalam pertandingan tersebut dan juga kepada Dayang Lina Musfirah bin Haji Abdul Wahab atas kejayaan dalam pertandingan tersebut dan semoga ianya menjadi penyuntik semangat bagi pelajar lain untuk berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi.

- sumber foto : www.infofoto.org.bn -